nuffnang

Friday, 22 July 2011

puasa ape macam....


BULAN yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam bakal tiba tidak lama lagi. Dalam keghairahan kita untuk menyambutnya, harus diingati persiapan yang perlu dilengkapi agar Ramadan kali ini tidak menyebabkan kita tersungkur sebelum penghujungnya.

Bukan setakat persediaan dari aspek mental dan spiritual, malah aspek fizikal perlu diambil kira dan disenaraikan keutamaannya. Selain mengejar pahala di bulan barakah, kita juga menyasarkan kesihatan tubuh badan yang unggul agar ia mampu menjadi wahana menggapai ketaqwaan kepada Allah SWT.

Sebelum Ramadan, momentum kesihatan perlu dibina. Latihan puasa perlu dicetuskan. Ini untuk memastikan agar fisiologi tubuh badan dapat disesuaikan dengan situasi berpuasa. Berpuasa sunat sebelum Ramadan dapat melatih perut supaya tidak terlalu ‘terkejut’ dengan puasa sebulan dalam Ramadan.

Inilah antara hikmah puasa sunat Rejab dan Sya‘ban yang digalakkan dalam Islam seperti mana diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim: “Adalah Rasulullah SAW kadang-kadang terus-menerus berpuasa hingga kami menganggap beliau tidak berbuka langsung, dan kadang-kadang beliau terus-menerus berbuka hingga kami menganggap beliau tidak berpuasa langsung.

Namun demikian, aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadan, dan aku tidak pernah melihat beliau paling banyak berpuasa sebagaimana beliau berpuasa di bulan Sya‘ban”.
Amalan yang dipraktikkan oleh Rasulullah SAW menunjukkan bahawa keutamaan berpuasa sunat itu digalakkan menjelang Ramadan terutamanya pada bulan Sya‘ban sebagai latihan sebelum memasuki madrasah Ramadan di mana kita akan berpuasa selama sebulan tanpa boleh diselang seli.


Oleh itu, tubuh kita memerlukan kekuatan dan kecergasan agar mampu meneruskannya tanpa kecundang di pertengahannya. Apabila kita sudah bersedia dengan momentum yang cukup, barulah dapat mengharungi Ramadan dengan cergas dan sihat. Kerap kali kita mendengar keluhan kelesuan, ketidakselesaan perut dan gastrik semasa di pertengahan puasa akibat tidak mempunyai perancangan dalam amalan pemakanan dan menu yang diaturkan.
Berpuasa merupakan salah satu cara untuk merehatkan sistem pencernaan yang bekerja hampir 24 jam sehari tanpa henti sekali gus ia akan meningkatkan kecekapan sistem tersebut dan meningkatkan kadar pembebasan tenaga selepas berakhirnya amalan berpuasa. Ini menjadikan seseorang lebih sihat dan bertenaga.

Otak akan memberikan isyarat bahawa tubuh badan tidak akan menerima makanan ketika berpuasa dalam tempoh yang panjang. Oleh itu, tubuh kita cuba menyesuaikan diri dalam keadaan lapar supaya dapat menyimpan tenaga dan metabolisma badan berlaku secara perlahan seiring dengan jumlah kalori yang diperolehi.
Tubuh memerlukan masa untuk menyesuaikan keadaan tersebut, maka dengan berpuasa sunat sebelum Ramadan memberikan satu peluang untuk melatih badan menghadapi kelaziman tersebut.

Ketika sihat, tubuh kita lebih mudah untuk menghadam dan menyerap zat sesuatu makanan. Namun, sebaliknya berlaku apabila kita berada dalam lingkungan tidak sihat. Zat makanan tidak diserap secara efisien malah toksin juga sukar untuk disingkirkan daripada badan.

Oleh itu, selama sebulan dalam bulan Ramadan, kita perlu memastikan agar tubuh kita berada dalam keadaan memuaskan dan mampu menjalani ibadah puasa dengan baik.


Tabiat yang tidak sihat seperti merokok juga perlu dikurangkan sedikit demi sedikit sebagai satu latihan untuk kita menempuh bulan Ramadan dan akhirnya ia menjadi satu medan berhenti merokok bagi perokok yang tegar. Tidak mustahil berlaku jika golongan tersebut mahu memulakannya dari sekarang.

selamat menjalani ibadat puasa kepada umat islam.

No comments:

Post a Comment